Akhil Hayy Terkejut Bekas Anak Tiri Jadi Artis

Kiera Rashid | 11/03/2012 04:20:00 PM | 0Comments |


KUALA LUMPUR – Artis lelaki dan penceramah bebas agama, Akhil Hayy ternyata terkejut kerana bekas anak tirinya iaitu anak kepada Maizawati Zainal, Deanna Sofea sudah bergelar seorang penyanyi.

Mengulas mengenai pembabitan Deanna ke dalam seni suara, Akhil Hayy ternyata berat untuk memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut.

Walaupun dia sempat menjaga Deanna sebagai anaknya sendiri untuk tempoh yang singkat, Akhil mengakui tidak pernah mengajar ‘anaknya’ itu untuk menjadi penyanyi.

Malah, Akhil juga memaklumkan tidak pernah melihat sebarang keinginan dari Deanna untuk menjadi seorang penyanyi suatu ketika dahulu.

“Dia bekas anak tiri saya. Payah sikit saya nak berikan komen. Ini kerana ia membabitkan maruah.

“Masa saya sah jadi bapa tirinya, saya tidak nampak pun tanda-tanda yang menunjukkan minat atau keinginannya untuk menjadi penyanyi. Malah, saya juga tidak terfikir dia berminat untuk menjadi penyanyi,” kata Akhil Hayy yang dipetik dari portal Murai.com.

Tambah Akhil Hayy lagi, sejak dia bercerai dengan Maizawati, dia langsung tidak mengambil tahu mengenai perihal anak-anak tirinya lagi.

Malah, Akhil Hayy memberitahu kesemua anak-anak tirinya dibawah tanggungan Maizawati.

Justeru, untuk memberikan sebarang reaksi mengenai perubahan dan keinginan Deanna untuk menjadi penyanyi, Akhil Hayy meminta ramai pihak untuk berhubung dengan ibu Deanna sendiri.

“Sewaktu saya menjadi ayah tirinya, saya hanya memegang amanah yang diberikan kepada saya. Saya sendiri tidak pernah tahu lagi apa yang terjadi kepadanya selepas saya bercerai.

“Walaupun didikan saya itu tidak sempurna mana, sebagai ayah dan ustaz saya tidak akan suruh anak saya menjadi penyanyi. Sejak bercerai, dia berada di bawah jagaan ibunya.

“Saya rasa lebih baik ibu dia yang jawab. Saya sudah ada famili sendiri. Saya juga kena jaga hati banyak pihak,” katanya.

Pun begitu, Akhil Hayy akan tetap mendoakan kebahagian dalam kehidupan bekas anak tirinya itu dalam mengharungi kehidupan di masa akan datang.

Sebelum mendirikan rumah tangga dengan bekas artis wanita, Waheeda, Akhil Hayy pernah bernikah dengan Maizawati Zainal.

Namun, hubungan suami isteri mereka tidak kekal lama selepas Akhil Hayy merahsiakan hubungannya dengan Waheeda.

Oleh: NAIMAH SHAARI

No comments: