SETEMPAT : Mati basuh tangan

Kiera Rashid | 9/18/2013 11:05:00 AM | 0Comments |
Kulim: “Saya terdengar jeritan seorang wanita meminta tolong lalu saya berlari ke kawasan perkelahan itu. Saya terlihat seorang wanita menunjukkan tempat anak perempuannya terjatuh ke dalam arus sebelum dihanyutkan.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus deras,” kata Abu Hamid, 45, dari Kampung Desa Teruna mengenai kejadian seorang pelajar perempuan, Farah Izwani Zainuddin, 13, dipercayai lemas ketika berkelah bersama keluarganya di kawasan Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa yang berasal dari Lunas serta pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar, dipercayai terjatuh ketika membasuh tangan di sungai berkenaan.
CHUA (kiri) meninjau lokasi pelajar lemas selepas tergelincir.
Abu berkata, beberapa penduduk kampung yang kebetulan berada di tempat kejadian kemudian menjalankan kerja mencari lalu menemui mangsa di kawasan Lubuk Lebai Awang kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
“Ketika kejadian tiada pengunjung lain, hanya ibu mangsa dan dua adik lelaki mangsa berada di situ,

“Sekiranya ramai pengunjung yang datang ke kawasan rekreasi itu kemungkinan mangsa dapat diselamatkan,”
katanya yang ditemui di sini, semalam.

Katanya, kes berkenaan kejadian kedua selang sehari pada Sabtu lalu apabila seorang wanita Hasmira Rosli, 26, dari Alor Setar lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di kawasan sama dan mayat mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

“Kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai setiap kali cuti umum ataupun cuti hujung minggu jumlah pengunjung bertambah ramai,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Teong Ghee, dekat sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Desa Teruna, Hashim Mohd Noor.

Chua berharap pengunjung di kawasan rekreasi itu mematuhi arahan pihak berkuasa untuk mengelak tragedi yang sama berulang lagi.

“Kawasan ini menjadi tumpuan pelancong, namun ada sesuatu masa keadaan amat merbahaya kepada pengunjung terutama ketika musim hujan kerana paras air sungai meningkat dan arusnya terlalu deras sehingga merbahayakan pengunjung.

“Kawasan ini adalah tumpuan pelancongan di daerah Kulim, namun begitu pengunjung yang berkunjung ke kawasan ini perlu mematuhi arahan daripada penduduk kampung mengenai kawasan-kawasan yang bahaya.

Sementara itu, Hashim berkata, pihaknya sudah memberi amaran kepada pengunjung supaya berhati-hati terutama musim hujan, namun ada antara pengunjung mengingkari arahan penduduk kampung. yang sentiasa memantau kawasan rekreasi ini terutama ketiak musim hujan.

Katanya, ada kalanya jika berlaku hujan lebat arus deras yang sering dipanggil penduduk kampung ‘kepala air’ turun dengan deras dan kuat sehingga boleh menghanyutkan orang ramai yang berada di tengah sungai.

“Kebiasaannya jika penduduk kampung melihat tanda-tanda berlaku kepala air penduduk akan memaklumkan kepada orang ramai yang berada di kawasan terbabit supaya segera naik ke atas darat untuk mengelak mereka dari di bawa arus deras.

“Penduduk kini sedang mencari alternatif supaya tidak berlaku lagi kejadian lemas di kawasan ini seperti meletakkan papan tanda amaran dan juga langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu.
Oleh Azahar Hashim | HMetro

No comments: