Muhammadku Bawa Penonton Dekati Rasulullah

Kiera Rashid | 10/04/2013 06:46:00 PM | 0Comments |

Bermula hari ini (4 Oktober) program 'Muhammadku' akan bersiaran menggantikan 'AL Kuliyyah' pada setiap Jumaat, jam 5.00 petang hingga 6.00 petang. Program yang diterbitkan oleh Siti Zainah Juahir bersama Penerbit Eksekutif Ahmad Noor Sulaiman ini akan membawa penonton merasai dan mencontohi insan agung Rasulullah SAW junjungan nan mulia melalui pelbagai topik-topik akhlak menarik yang akan disampaikan setiap minggu.

Antara keperibadian Rasulullah SAW yang bakal diceritakan termasuklah sifat solat Baginda, perjalanan Haji Mabrur dan banyak lagi kisah akhlak terpuji Rasulullah SAW meliputi setiap disiplin kehidupan yang perlu dan wajib diketahui dan diteladani oleh umat Baginda.

Muhammadku menampilkan pendakwah terkenal iaitu Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid sebagai pemimpin progam ini dengan pengisian ilmiah berdasarkan sirah junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Penonton akan lebih terkesan lagi melalui penyampaian Habib Ali dengan konsep penceritaan dan dibantu dengan replika set berupa sebuah madrasah berusia 1400 tahun dahulu bersama dengan tata cahaya yang sangat tenang serta mampu menyentuh ke titik hati penonton demi mengimbas dakwah dan akhlak Nabi Muhammad SA.
Untuk makluman, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid merupakan pendakwah berusia 39 tahun berasal dari Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia. Anak kedua daripada empat adik-beradik ini datang daripada keluarga sederhana yang hidup di sebuah perkampungan yang didiami oleh ramai ulama. Beliau mengembara ke merata tempat untuk menuntut ilmu, termasuklah di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia, dalam jurusan Al-Quran dan Sunnah.
Berlatarbelakangkan pendidikan dan pembangunan diri Habib Ali yang dinamik dan menyeluruh, diregukan dengan bakat semula jadi dan kemahiran berdakwah yang telah diasuh dan dibentuk oleh guru beliau, menjadikan beliau seorang pendidik dan pendakwah yang bukan sahaja dikenali dengan kehebatan di medan ilmu dan dakwah, tetapi juga kerana akhlaknya yang mulia.

Sepanjang perkongsian ilmu rancangan 13 episod ini, setiap episod Muhammadku juga diserikan dengan persembahan Kumpulan Ahbabul Habib mengalunkan kegermisikan Qasidah puji-pujian kepada junjungan besar ke atas Baginda SAW yang juga selama ini alunannya semakin dilupakan.

Jadi, jangan lepaskan peluang menyaksikan 'Muhammmadku' pada setiap Jumaat dari jam 5.00 hingga 6.00 petang. Penonton yang terlepas menyaksikannya, boleh menontonnya di laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my

No comments: