Bukit Aman Tahan Pelajar Hina Gambar Pemimpin

Kiera Rashid | 9/05/2012 04:12:00 PM | 0Comments |


KUALA LUMPUR – Bukit Aman menahan seorang pelajar kolej swasta di Taman Maluri, Cheras pada jam 12 tengah hari tadi bagi membantu siasatan berhubung perbuatan menghina gambar pemimpin negara pada malam sambutan Kemerdekaan di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu.

Pelajar terbabit yang berusia 19 tahun ditahan di kolejnya sejurus tiba dari kampungnya di Batu Pahat, Johor dengan diiringi ibu bapanya.

Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota diketuai Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Md Hassan.

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Turut dibawa bersama suspek, dua rakan sekuliahnya yang merakamkan perbuatan melampau suspek pada malam kejadian.

Abd Jalil berkata, polis turut memeriksa unit kondominium yang disewa suspek di Cheras bagi mencari bahan bukti berkaitan.

Suspek adalah pelajar jurusan multimedia kreatif sebuah kolej di Taman Maluri.
Kesalahan menunjukkan punggung pada gambar pemimpin negara yang dianggap sebagai satu penghinaan dan disiasat mengikut Seksyen 114 Akta Hasutan.

Pelajar terbabit dipercayai melarikan diri ke kampungnya di Batu Pahat selepas menyedari diburu polis.

Bagaimanapun, atas desakan ibu bapanya, suspek menyerah diri pada kira-kira jam 11 pagi sebelum ditahan sejam kemudian. – Berita Harian Online

No comments: